Langkah-langkah untuk Menggalakkan Golongan Belia Menceburi Industri Kraf Tangan
KUALA LUMPUR: Produk kraf tangan tradisional tempatan mampu menembusi pasaraan antarabangsa sekiranya mempunyai landasan pemasaran dan penghasilan material bersesuaian dengan cita rasa semasa. Oleh itu, penghasilan produk seni dana kraf tangan tempatan perlu lebih unik, kreatif dan mengekalkan keaslian, tetapi kontemporari sejajar dengan aliran semasa.(Sumber: Berita Harian)
Masa depan kraf tangan agak cerah sekiranya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Bincangkan langkah-langkah untuk menggalakkan golongan bellia menceburi industri kraf tangan.
Tema: Industri Kraf Tangan
Kunci Soalan: Langkah-langkah untuk Menggalakkan Golongan Belia Menceburi Industri Kraf Tangan
Sektor industri kraf tangan telah dijalankan sejak zaman Tuk Nadur berkajang kain. Kraf tangan merupakan penghasilan peralatan dengan tangan yang mempunyai nilai estetika tersendiri dan memaparkan budaya nenek moyang kita. Zaman beralih, musim bertukar. Sejajar dengan era yang dilimpahi dengan teknologi maklumat, taraf hidup manusia semakin meningkat berikutan dengan perkembangan ekonomi negara kita. Sektor perindustrian sering diberikan tumpuan untuk menjana ekonomi negara kita. Sayang seribu kali sayang, sektor industri kraf tangan semakin dipinggirkan pada saban hari. Sebenarnya, sektor industri kraf tangan berpotensi tinggi untuk memajukan ekonomi negara kita. Persoalan yang berlegar-legar di gawang minda saya ialah apakah langkah-langkah untuk menggalakkan golongan belia menceburi industri kraf tangan?
Langkah perdana untuk memajukan industri kraf tangan ialah pihak kerajaan haruslah memberikan bantuan kepada pengusaha industri kraf tangan yang muda dan baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada industri tersebut adalah alang kepalang. Sesungguhnya, pengusaha tersebut memerlukan kos yang tinggi untuk memulakan perusahaan mereka serta membeli bahan mentah yang diperlukan dalam kraf tangan. Contohnya, pihak kerajaan boleh menawarkan pakej peminjaman modal dan khidmat nasihat kepada pengusaha tersebut. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja jadi deras”. Dengan adanya bantuan sempurna, pengusaha dapat memulakan pekerjaan industri kraf tangan dengan lancar. Tegasnya, pihak kerajaan perlu membantu pengusaha industri kraf tangan supaya mereka mampu mengusahakan industri kraf tangan dengan baik.
Selanjutnya, pihak sekolah perlu mendedahkan sektor industri kraf tangan kepada murid-murid sejak bangku sekolah bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid yang masih berdarah setampuk pinang mudah menerima pengaruh luar. Misalnya, pihak sekolah boleh mengadakan lawatan sambil belajar ke industri kraf tangan untuk mendedahkan proses pembuatan kraf tangan di industri kraf tangan. Seterusnya, pihak sekolah turut boleh mengajak usahawan industri kraf tangan yang berjaya untuk menyampaikan ceramah kepada murid-murid. Hal ini dapat mengikis tanggapan buruk murid-murid terhadap sektor industri kraf tangan dan mereka akan berminat untuk menceburi bidang tersebut ketika dewasa. Tuntasnya, pihak sekolah harus meyakinkan murid-murid bahawa sektor industri kraf tangan turut memulangkan pendapatan yang lumayan.
Sementelahan, pengusaha industri kraf tangan patut menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sendiri di negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri kraf tangan dapat mendalami budaya kraf tangan negara lain. Contohnya, dengan kelengkapan ilmu tersebut, pengusaha dapat membuat inovasi untuk menghasilkan kraf tangan yang baharu dengan penerapan nilai tempatan dan nilai estetika negara lain. Sehubungan dengan itu, kraf tangan yang baharu akan menarik perhatian pembeli dan menembusi pasaran antarabangsa kerana mempunyai reka bentuk unik serta kontemporari sejajar dengan aliran semasa. Hal ini merupakan satu pendekatan serampang dua mata untuk menaikkan nama baik negara dan menjana ekonomi negara. Tegasnya, pengusaha industri kraf tangan patut menghasilkan produk yang berbeza untuk memajukan industri kraf tangan.
Intihanya, industri kraf tangan mampu menjana ekonomi negara kita serta merupakan khazanah warisan nenek moyang kita dan kita tidak harus bersikap seperti kacang lupakan kulit. William Shakespeare pernah berkata bahawa jangan hentikan usaha yang mulia, selagi hasilnya belum dikecapi dan dicapai. Lantaran itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memajukan industri kraf tangan kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Peribahasa genggam bara api, biar sampai jadi arang haruslah menjadi pegangan pengusaha industri kraf tangan dalam memulakan perusahaan industri kraf tangan. Sehubungan dengan itu, industri kraf tangan mampu dimajukan dan akan tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
(505 patah perkataan)
Markah - Disemak Cikgu OKH
59/70
Ulasan
Catat Ulasan